Friday 17 February 2012

Pergi Tak Kembali - Al Fatihah



Tengahari semalam KepakMerah sempat menziarahi arwah DJ Razak disurau taman LTAT Bukit Jalil. Sempat meratapi wajah arwah selepas solat jenazah. Semasa hayatnya arwah merupakan insan yang sentiasa tersenyum dan apabila bercakap pula, intonasinya agak lembut. Itulah serba sedikit perwatakan yang KepakMerah kenali.

Insiden kemalangan berlaku pada jam 7.15 pagi selepas arwah pulang daripada menghantar anaknya ke sekolah. Menurut cakap jiran tetangga di taman LTAT, jalan yang digunakan adalah jalan yang ditutup oleh pemaju dan sering digunakan oleh penduduk setempat sebagai jalan 'shortcut' untuk menghantar anak ke sekolah dengan menggunakan motorsikal. KepakMerah sempat berbual dengan tetamu yang hadir disurau tersebut. Menurut mereka sebelum kemalangan berlaku, salah seorang telah 'bersin' lalu gagal mengawal motorsikal yang ditungganggi dan berlakulah kemalangan yang mengakibatkan kematian serta seorang lagi mangsa mengalami cedera parah.

Untuk pengetahuan pembaca, mangsa yang terlibat adalah jiran arwah dan mereka berdua ahli jawatankuasa surau taman LTAT. Salah seorang daripadanya merupakan timbalan pengerusi surau dan seorang lagi bendahari surau tersebut. Inilah yang dikatakan 'malang tidak berbau' tetapi kita yang masih hidup ni, ingatlah janji Allah, MATI itu pasti.

Jenazah telah selamat dikebumikan ditanah perkuburan Kg. Bohol, Kinrara, Puchong selepas zohor semalam.

Ramai juga artis - artis nasyid yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada arwah antaranya kumpulan Rabbani, Isman Hijjaz, Razin Mestica, kumpulan Syifa, Sufian Saujana, Hafiz Hamidun dan rakan - rakan DJ daripada radio IKIM.

Bersamalah kita sedekahkan Al Fatihah buat arwah Abdul Razak Arbain, 46. Takziah buat keluarga arwah.


No comments:

Post a Comment