Filem Cinta Kura-Kura arahan Nizam Zakaria yang diterbitkan KRU
Studios menggabungkan kombinasi karakter animasi dan realiti. Filem yang
bakal ditayangkan mulai 1 Mac ini dilakonkan Tiz Zaqyah, Aeril Zafrel,
Fizz Fairuz, Bob AF2 dan juga Zizan.
Zizan yang semakin meletup-letup pun berlakon melakonkan watak seekor haiwan, kura-kura bernama Nico. Watak penting yang menjadi nadi kepada filem itu tidak memerlukan Zizan menjual wajah sebaliknya hanya menyumbangkan suara.
Menurut pemilik nama sebenar, Mohd Razizan Abd Razak ini biarpun pembabitan dan komitmennya terhadap CKK dalam skop mudah, Zizan mengakui ia menjadi cabaran terbesar terutamanya dalam melontarkan suara untuk Nico tanpa melihat sebarang mimik muka dan pergerakan sebenarnya.
“Kura-kura di dalam filem ini disifatkan sebagai metafora. Di sebalik dirinya yang lembap, pengarah bijak menonjolkan sisi cerdik, nakal dan gatal. Nico juga perlu melindungi pemiliknya, Nani lakonan Tiz Zaqyah dan pada masa yang sama mengawal setiap langkah yang ingin dibuat termasuk dalam soal bercinta.
“Dengan Nani, Nico tak bercakap sebaliknya menunjukkan protes atau mengkritik dalam segi perlakuannya. Nak tahu dengan lebih lanjut kenalah tonton filem ini. Ini juga percubaan pertama saya berlakon bersama KRU Studio. Hampir 60 ke 70 peratus babak membabitkan saya sebagai Nico,” kata Zizan yang turut diumumkan sebagai hos ABPBH 2011 buat kali kedua bergandingan dengan Sharifah Shahira, Raja Azura dan memperkenalkan hos baru, Didie Alias kepada akhbar B*Pop.
Ditanya apa kelainan dan kenapa filem ini perlu ditonton, Zizan berkata, ia menjadi cabang lawak baru buat dirinya. Pertama kali juga Zizan melakonkan watak sebagai haiwan dan berbeza dengan pengalamannya sebelum ini dalam dunia lakonan, pengacaraan, stand up comedy dan nyanyian.
“Sekitar seminggu saya melunaskan proses memasukkan suara untuk watak Nico. Satu penghormatan juga buat saya dapat berlakon dengan empayar KRU Studios kerana mereka sangat profesional dan canggih. Filem ini patut dibanggakan kerana membawa industri filem tempatan ke arah dimensi baru.
“Sebelum ini pun, tiada karakter animasi yang diadun dengan realiti diangkat sebagai watak utama dalam filem. Filem ini menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) untuk menampakkan kura-kura bercakap. Nizam Zakaria juga sudah melakukan tugasnya dengan bagus.
“Ini juga kali pertama saya melihat sebuah karya cerita Melayu yang mempunyai mesej di sebalik mesej. Nizam juga bijak menggunakan permainan warna untuk menggambarkan simbolik sesuatu subjek. Selain kura-kura, warna ada juga watak arnab (lakonan Fizz Fairuz) yang walaupun penonton tak nampak ia tetap wujud,” kata yang ketika dihubungi sibuk dengan penggambaran telefilem Mat Bunga arahan Azizi Chunk untuk slot Cerekarama TV3.
Mengenai ABPBH 2011, sekali lagi menyaksikan debaran berganda buat Naib Juara Raja Lawak Astro musim pertama dicalonkan dan pada masa yang sama memikul tugas sebagai pengacara seperti tahun lalu. Untuk dua kategori yang mencalonkan namanya, Zizan memberitahu dia tidak meletakkan harapan tinggi.
“Kalau ada rezeki menang, saya terima. Kalau tidak, saya reda. Menang atau kalah bukan soal. Apa yang lebih penting, saya tidak sabar untuk menunggu hasil ABPBH 2011 yang menyambut Jubli Peraknya kali ini. Semestinya, tugas di tangan kami (hos) semakin berat untuk memastikan perjalanan acara gilang gemilang ini berjalan lancar.
“Gamat pasti gamat, kerana saya, Kak Engku dan Kak Shera akan ditambah dengan kehadiran Kak Didie pula. Masing-masing memang diketahui cukup gila-gila dan sporting. Apa-apapun saya masih rasa diri ini baru di sisi mereka. Rasa macam kahwin tiga pun ada,” selorohnya menoktah bicara.
Petikan: B*Pop, Berita Minggu
KM: Wah terkejut dengar pengarah Azizi Chunk sudah kembali mengarah dulu dengar cerita dia merajuk sikit
KM: Wah terkejut dengar pengarah Azizi Chunk sudah kembali mengarah dulu dengar cerita dia merajuk sikit
No comments:
Post a Comment