Rumah Dimasuki Perompak, Mawi Dipercayai Diikat
PETALING JAYA: Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi menerima nasib malang apabila rumahnya di Bangi dekat sini dimasuki perompak awal pagi Isnin.
Menurut pengurus peribadinya iaitu Mohd Nasir Ismail, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi apabila beberapa perompak memecah masuk ke rumah banglo milik Mawi dan melarikan beberapa barang berharga termasuk telefon bimbit.
Nasir berkata, kejadian itu berlaku ketika Mawi yang baru tiba di rumahnya kira-kira pukul 2 pagi selepas selesai siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di Johor Baru.
“Saya difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi selepas dua jam Mawi tiba di rumahnya dari Johor kerana menyertai siri jelajah ABPBH.
“Semasa kejadian terdapat ibu Mawi, nenek serta isteri dan anaknya. Kesemua mereka selamat dan tidak diapa-apakan,” jelas Nasir.
Bagaimanapun dia tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kerana masih dalam perjalanan pulang dari Johor ke Kuala Lumpur.
Sementara itu Mawi dan isterinya, Nora’Asikin Rahmat (Ekin) tidak dapat dihubungi kerana dipercayai telefon bimbit mereka dilarikan perompak.
Bagaimanapun mStar Online difahamkan, dalam kejadian itu Mawi turut diikat sementara perompak telah melarikan barang berharga dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM10,000.
Pada 28 Februari lalu pasangan artis tersebut menerima cahaya mata pertama mereka iaitu Cahaya Malaika.
kredit: mstar
No comments:
Post a Comment