Wednesday 18 April 2012

Ayah paksa kahwin... tak kahwin kena bunuh

KM sempat baca akhbar secara online pagi ni, mata tertarik bila melihat cerita pasal kahwin yang dipaksa oleh keluarga. Sampaikan ada unsur untuk membunuh anak sendiri jika menolak permintaan ayahnya. Jodoh perkahwinan memang sudah ditentukan oleh Allah, tapi jika kita tak berusaha untuk mencari, susahlah. Si Ayah memasang impian untuk bermenantukan pilihan hatinya. Si anak menolak dengan cara terbaik kerana belum mengenali hati budi calon suami yang dicadangkan dan alasan lain kerana belum bersedia.

Cuba kita toleh kebelakang seketika, 20 atau 30 tahun dahulu.... bagaimana seorang anak yang akan menuruti apa sahaja yang telah dirancang oleh keluarga tanpa membantah. Ini kerana sikap hormat kepada kedua orang tua amat kuat. Ibu Bapa mana yang sanggup melihat anak mereka hidup merana??? Setiap keputusan yang dibuat semuanya telah dikaji secara mendalam dan bukannya main 'lepas batuk ditangga'. Ini soal kehidupan.

Si anak pula sekarang ni dah ada pilihan hati sendiri, dan sorok daripada pengetahuan keluarga menyebabkan berlakunya perselisihan faham. Jika keluarga tahu anaknya dah ada pilihan hati, mungkin mereka akan menerima dengan baik. Tapi jika ayah tidak mengetahui bahawa anaknya dah ada 'boy friend' dan umur anak pun dah makin meningkat, mungkin kerisauan yang membelenggu takut anak 'tak laku'. Tindakan yang diambil, mereka mencari calon untuk anak mereka pastinya pilihan yang terbaik. Bila dipersembahkan hajat mereka kepada anaknya, inilah yang jadi... anak menolak jodoh yang dicari menyebabkan si ayah naik angin satu badan.

Kepada si ayah, kepada si anak berbincanglah sekali lagi. Duduk semeja dan cuba selami permasalahan yang wujud. Pastinya masalah itu boleh diatasi. Berilah yang terbaik kepada anak darah daging sendiri. Wahai anak, pandanglah ayah mu dengan pancaindera yang tulus dan mulus, seteruk mana pandangan mu... dia TETAP ayah mu. INGAT tidak ada seorang pun ayah yang sanggup melihat anaknya hidup susah.

bacalah kisah yang dipaparkan hari ini.....


KUALA LUMPUR: Kahwin atau dibunuh itu kata dua diberikan seorang bapa kepada anak perempuannya yang dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihannya ketika berbincang di rumah mereka di Kepong Baru, dekat sini Ahad lalu.
Malah, lebih kejam wanita berusia 27 tahun terbabit turut dipukul sebelum dihalau keluar selepas mangsa tidak bersetuju dengan rancangan bapanya berusia 50-an yang ingin menjodohkan dengan lelaki tidak dikenalinya.

Akibatnya, mangsa menumpang di rumah rakannya sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.
Mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Jinjang.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa yang pulang ke rumah jam 9 malam dipanggil ibu bapanya ke ruang tamu untuk berbincang sesuatu.

“Mangsa pada mulanya menolak secara baik permintaan keluarganya itu tambahan dia tidak mengenali bakal suami. Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila si bapa memarahinya,” katanya.
Sumber berkata, terkejut dengan sikap bapanya itu, mangsa memberitahu dia tidak bersedia untuk berkahwin tambahan belum mengenali hati budi bakal suaminya.

“Geram anaknya enggan bersetuju dengan rancangan perkahwinan itu, lelaki terbabit yang gagal mengawal kemarahan menampar pipi mangsa beberapa kali.
“Malah, bagaikan dirasuk, anaknya dipukul menyebabkan mangsa yang kesakitan merayu dilepaskan,” katanya.

Menurutnya, mujur ibu mangsa membantu dan meminta suami bersabar dan memujuk anaknya supaya bersetuju dengan perkahwinan terbabit.

“Si bapa yang masih marah memberi kata dua kepada mangsa sama ada dia bersetuju untuk berkahwin atau dibunuh.

“Namun, mangsa berdegil dan memberitahu dia enggan berkahwin menyebabkan bapanya menghalaunya dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.

terima kasih hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment