KEHILANGANNYA' dalam industri muzik sering kali menjadi tanda tanya sehingga ada segelintir pihak yang mengandaikan bahawa Kaer Azami sudah meninggalkan jauh bidang seni.
Apa yang dibekalkan untuk peminat tegarnya mengubat rindu hanyalah bingkisan lagu-lagu dendangannya. Tetapi tuan punya badan jauh berkelana ke bumi Indonesia.
Namun kini, Kaer kembali dan tekad tidak akan meninggalkan tanah air lagi kerana bekas finalis Akademi Fantasia musim kedua ini mempunyai misi yang perlu diselesaikannya.
Membuka bicara pada pagi pertemuan kami di salah sebuah pusat membeli-belah di ibu kota baru-baru ini, banyak perkara yang dibualkan.
Jika hendak dibandingkan dengan pertemuan pertama kami sekitar enam tahun lalu, ternyata bicara Kaer sudah menunjukkan kematangan yang sangat ketara.
"Selama empat tahun di Jakarta sebenarnya banyak mengajar saya tentang erti hidup. Saya menjadi seorang yang lebih matang dan sedar bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk memikirkan perkara yang remeh-temeh.
"Saya perlu bingkas bangkit untuk mengecapi kejayaan yang saya inginkan menerusi setiap satu perangan yang telah saya aturkan.
"Jiwa saya masih lagi dalam bidang seni tetapi semakin saya dewasa, saya harus sedar bahawa untuk terus hidup hanya dengan menyanyi, ia tidak mencukupi.
"Lantaran itu, saya kini sudah mengorak langkah untuk melebarkan lagi sayap perniagaan saya menerusi rangkaian label pakaian saya, Kazami Homme yang sudah hampir dua tahun beroperasi," kata pemilik nama penuh Wan Mohammad Khair Wan Azami ini penuh optimis.
Menceritakan lebih lanjut tentang Kazami Homme, jelas Kaer, semuanya berlaku tanpa disangka apabila dia mula menggayakan pakaian daripada jenamanya itu sewaktu menghadiri majlis-majlis di Jakarta.
Ketika itu jugalah, lensa kamera tertumpu kepadanya dan saat gambarnya terpampang di majalah, ramai yang mula bertanyakan tentang koleksi pakaian yang digayakan.
"Saya sendiri terkejut dengan penerimaan masyarakat di sana terhadap jenama saya. Bukan hanya golongan biasa tetapi ia juga mendapat perhatian golongan atasan dan artis di sana.
"Dari situ, saya mendapat idea untuk meluaskan lagi perniagaan saya dan ia telah memberi satu indikator bahawa saya mampu pergi jauh dengan Kazami Homme.
"Untuk itu, saya kini sedang mencari peluang untuk bekerjasama dengan 20 orang pereka fesyen tempatan dalam menubuhkan butik Kazami Homme di Malaysia," jelas Kaer sambil memberitahu salah sebuah butik di Plaza Indonesia turut tertarik untuk mengedarkan jenamanya.
Lebih menumpukan kepada pakaian untuk kaum Adam, kata Kaer, sebagai permulaan, Kazami Homme menawarkan koleksi gaya santai dan smart casual dengan harga yang berpatutan.
Sementara sebahagian besar material untuk penghasilan jenamanya itu diimport dari Indonesia dan China.
"Saya sentiasa mahu mencari peluang untuk perniagaan saya ini. Pantang ada yang mengajak untuk meninjau peluang dengan pelbagai pameran di luar negara, saya pasti tidak menolaknya," katanya yang merancang untuk ke Filipina dan Milan, Itali.
Melihatkan kerancakannya berbicara tentang perniagaannya itu, sengaja Kaer diusik apakah dia dia sudah tidak berminat lagi dengan dunia seni.
Di kala sebahagian besar teman alumni Akademi Fantasia yang lain semuanya hilang entah ke mana dan jauh meninggalkan bidang seni, Kaer boleh dianggap bertuah kerana masih lagi mempunyai kumpulan peminat yang berterusan menyokongnya.
Mukjizat
Sambil tersenyum, kata pemuda berusia 27 tahun ini, soal itu tidak pernah terfikir langsung buat masa ini kerana seni sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
"Saya mula berkecimpung dalam dunia seni sejak lapan tahun lagi dan seni saya tidak tertumpu kepada nyanyian semata-mata. Saya dididik dan didedahkan dengan pelbagai skop seni lantaran membuatkan saya mahu mencuba pelbagai cabang seni.
"Dalam aspek nyanyian, saya masih lagi mendapat tawaran menyanyi dan ada kalanya tawaran yang saya terima itu mencabar kredibiliti saya sebagai seorang penyanyi.
"Mereka mahukan saya menyanyi lagu-lagu jazz dan saya fikir ia adalah peluang terbaik buat saya meneroka bakat saya dengan lebih mendalam selain mengenali diri saya sendiri," kata penyanyi mula dikenali menerusi lagu Kembali Bersama itu lagi.
Cukup masyhur dengan lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik nukilan Sulu Sarawak, Kaer menggambarkan dirinya kini cukup matang dalam penghasilan muzik.
Mula muncul dengan album perdana, Menjelma pada tahun 2007 dan kemudian album susulan, A New Chapter, tahun lalu, Kaer benar-benar teruja dan gembira dengan sambutan yang diterima terhadap album-albumnya.
Biarpun dia tidak berada di Malaysia setiap masa untuk mempromosikan album-albumnya secara menyeluruh tetapi dia bersyukur dengan penerimaan positif daripada peminatnya terutama dari Singapura dan Brunei.
Kaer bagaimanapun mengakui bahawa ramai yang bagaikan tidak menyedari kemunculan album A New Chapter lantaran lagu-lagu di dalam album tersebut tidak mendapat perhatian stesen radio.
"Sudah tentu saya berasa sedih apabila lagu-lagu saya tidak dimainkan di radio. Hanya Izinku Pergi sahaja yang kerap dimainkan dan saya berterima kasih kerana mereka terus memainkan lagu itu.
"Bagi saya, dalam zaman ini, ia ibarat mukjizat seandainya lagu-lagu artis tempatan dimainkan di radio tempatan. Saya sendiri pun sudah beberapa kali menghantar lagu-lagu saya tetapi malangnya, tiada respons yang diterima.
"Daripada saya duduk bersedih, lebih baik saya teruskan hidup. Saya pun kini dalam proses untuk menyiapkan album ketiga saya yang dijangka berada di pasaran sekitar bulan Mei ini," jelas Kaer yang cukup menggemari lagu Pokok dendangan Meet Uncle Hussain dan Hazama yang disifatkannya sebagai sebuah karya unik.
Mencari protege
Sebagai kelainan, untuk bingkisan terbarunya itu, Kaer menjelaskan kali ini dia menghasilkan lagu dan liriknya sendiri kerana mahu menonjolkan sisi lainnya sebagai seorang karyawan.
Malah konsep muziknya juga berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkan menerusiMenjelma dan A New Chapter yang mana muziknya disuntik dengan elemen baru.
Hanya memuatkan lima buah lagu sahaja, untuk mendapatkan hasil terbaik, Kaer telah menggunakan khidmat Audi Mok dan Omar K untuk penggubahan lagu serta aspek penerbitan album.
Dalam masa yang sama, Kaer juga kini dalam misi mencari bakat-bakat baru untuk diserapkan dalam syarikatnya, Sphinx Flame.
"Saya melihat banyak bakat baru dalam arena muzik hari ini dan saya mahu memberi peluang serta platform kepada mereka untuk mengembangkan bakat seni mereka.
"Sudah pasti saya mencari mereka yang memiliki bakat tersendiri dan unik tanpa dibayangi mana-mana penyanyi popular. Lebih bagus jika mereka mampu menghasilkan muzik mereka sendiri.
"Namun saya lebih bersikap terbuka kepada mana-mana yang berminat kerana saya mengutamakan bakat. Mereka yang mahu mencuba nasib, bolehlah menghantar demo kepada saya di wankaer2@yahoo.com," kata pemilik ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian perniagaan itu lagi.
No comments:
Post a Comment