Friday 4 May 2012

Saat-saat terakhir arwah Husni @ Bob kuman - Al Fatihah

Arwah Bob seorang artis serba boleh, pernah muncul dengan album bersama kumpulan KU2 kombinasi Kuman dan Kumin. Kumpulan ini tidak bertahan lama, akhirnya berpecah dan mereka membawa haluan masing-masing.  Arwah Bob lebih menonjol dengan bakat yang ada, Bob terjun ke bidang lakonan dan membawa watak komedi yang sinonim dengan perwatakannya yang suka melawak. Lawaknya membuatkan kita sentiasa ketawa, lawak yang ditunjukkan mempunyai kelainan sehinggakan pelawak popular lain sering menggunakan 'trademark' lawak spontan arwah.


Kini semuanya tinggal kenangan, Arwah Bob pergi buat selama-lamanya. KepakMerah menyeru kepada semua peminat Bob sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah buat arwah. Semoga Rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Doakan agar arwah diringankan azab kubur. .... Al Fatihah.


baca selanjutnya... petikan daripada blog Mazidul ...... 


Gambar-gambar eksklusif ....

Pemimpin seharusnya menyebarkan berita tepat dan sahih
 di laman sosial.


Malangnya berita disiarkan di laman Twitter Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu tidak benar.
Sila rujuk di sini. Maaf Datuk kerana saya harus memperbetulkan maklumat salah itu.

Bob Lokman masih HIDUP.

Barangkali informasi disalurkan oleh sumber kepada beliau tidak tepat.

"Bang! Tolong pergi tengok abang Bob, isteri dia telefon menangis dan katanya abang Bob
sudah tidak bernafas. Saya on the way," ujar Farid cemas sewaktu menghubungi saya
di rumah petang tadi.

Pelakon dan pelawak, Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi, 41 tahun,
dilaporkan sakit buat pertama kali di blog ini.

Sila rujuk entri ini.


Berikutan laporan itu, banyak pihak menghulurkan bantuan kepada anak kelahiran
Kampung Sega Tengah, Rantau, Negeri Sembilan terbabit.

"Bang, terima kasih kerana menolong saya," ujar arwah berkali-kali. 

"Bob, saya hanya membantu sedaya mungkin"

Hanya kenyataan itu mampu saya ungkapkan.

Arwah ternyata amat terharu berikutan sumbangan dihulurkan orang ramai
bersimpati terhadap keadaannya. Untuk rekod, dia antaranya disahkan mengidap
sakit jantung, darah tinggi dan penyakit terlalu mudah tertidur.

Mewakili keluarga arwah, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada
semua memberikan sokongan moral dan kewangan.


Melalui pengamatan saya, Bob tetap bersabar setiap kali akaun Maybank miliknya
disekat sekaligus menggagalkan usaha orang ramai mendepositkan sumbangan mereka
ke akaunnya.

Baca laporan di sini.

"Bang, macam mana saya hendak ke bank membuat justifikasi sedangkan hendak
bangun dari katil pun saya tidak berdaya," katanya.

Saya melihat penderitaan dilalui oleh arwah. 

Kali pertama bertemu Bob pada 15 April lalu, sambil berbual dia kelihatan sukar
bernafas namun sedaya upaya mencuba menerangkan situasi sebenar. Lihat aksi 
arwah 17 hari sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.


"Biar aku pegang mikrofon ini, lama tidak keluar TV," usiknya.  

Dalam derita, Bob masih mampu bergurau senda ketika dikunjungi oleh wakil media
cetak dan elektronik di rumahnya.


"... lu fikirlah sendiri," ujarnya dalam nada bergurau.

Kenyataan itu ditujukan kepada David Teo berikutan ketidakpuasan terbuku di hatinya.

"... kita kesian dia laaa dari dahulu sebelum saya jumpa dia, dia sudah ada masalah 
kesihatan. Dia minta saya untuk bagi peluang bekerja. Saya kata, kamukan ada masalah 
kesihatan. Boleh ke kamu kerja? Dia kata boleh. Sebelum dia pergi saya punya 
lokasi, so hospital Tawakal saya bersama dia punya kru hantar sumbangan untuk 
tolong dia melunaskan baki daripada Tawakal, RM5, 000. Tak payah pinjam, 
saya bayar kamu sumbangan. Apabila di dalam sedih, production manager bawa 
dia pergi, bukan seperti yang ditunjukkan pada gambar sebab dia lelah bukan 
dia jatuh. Saya terkilan sebab kata saya abaikan. Kalau dia hendak minta gaji, 
itu sedekah, dia boleh terus kepada saya. Tak perlu melalui publisiti seperti saya 
menganiayai dia. Tak adil bagi saya lah ... Tuhan kata memaafkan orang, kita 
akan banyak rezeki. Saya sentiasa memaafkan banyak orang ... Dia bagi tahu kita, 
biar saya hantar pegawai, saya pun sentiasa di luar negara. Tak ada masalah, dia 
orang sakit. Sekiranya dia mahu MINTA SEDEKAH, beri tahulah tetapi jangan 
menganiaya orang lah"

Kenyatan di atas diungkapkan oleh David (sumber : tonton.com.my) sewaktu
dihubungi oleh wartawan Melodi melalui telefon dan kenyataan terbabit disiarkan
di rancangan hiburan secara langsung terbitan TV3 itu, dua minggu lalu.

Izinkan saya berkongsi sedikit maklumat bersama David dan semua pembaca
blog ini. Barangkali dakwaan jutawan terbabit bahawa beliau pernah menghulurkan
bantuan kewangan kepada arwah benar biarpun saya tidak melihat buktinya lagi tetapi
ketahuilah masih ramai lagi rakyat Malaysia berhati mulia biarpun bukan berstatus jutawan.
Mereka tanpa sebarang persoalan dan pertikaian membantu Bob melalui pelbagai
kaedah tanpa nama disebut.

Sebilangan hadir ke rumah arwah contohnya memberikan ubat tradisional manakala
sebilangan lagi menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai.

Ingin saya tegaskan di sini, arwah BUKAN PEMINTA SEDEKAH, dia penerima
derma ikhlas disumbangkan oleh anggota masyarakat pelbagai bangsa berhati mulia.

Teringat saya kepada kenyataan rakan, Razali Harun sebelum ini.

"Dia (Bob) sebenarnya bukan mementingkan duit sangat bro tetapi jika boleh cuma
ingin diziarahi oleh rakan dan kenalan dalam keadaan begini"

Ahli politik mewakili PAS dan Barisan Nasional, ahli SENIMAN, persatuan kebajikan,
rakan artis dan ramai lagi sempat singgah menziarahi arwah sebelum dia menghembuskan
nafas terakhir.

Benar kata David, barangkali kerana kesibukan tugas, dia sentiasa berada di luar negara,
masakan mempunyai masa terluang menziarahi pelakon dan pelawak terlantar sakit.

Itu bukan tanggungjawab dia dan pegawainya jadi mereka tidak boleh dipersalahkan.

"Bang, saya bukan hendak meraih simpati. Bukan desperado. Kalau abang hendak
menolong saya, elok kalau iklankan barangan cendera hati saya jual seperti topi
dan baju di blog, " pintanya kepada saya sejak hari pertama saya menulis entri berhubung
penderitaannya.

Untuk pengetahuan semua, Bob tidak pernah meminta saya memulis entri berhubung
seksa ditempuhnya di blog ini. 

Saya menulis entri disebarkan ke seluruh negara itu dan sekaligus memancing perhatian
media itu dengan kehendak hati sendiri.

"Bob, sihat dahulu dan kemudian kita bincangkan fasal iklan. Sebenarnya mereka menderma
itu peminat awak dan menghargai awak sebagai anak seni. Barangkali, awak pernah
membuatkan mereka tertawa sebelum ini. Justeru tidak salah jika mereka membantu
sewaktu awak dilanda musibah," balas saya.

Kita harus ingat, kuasa dan kekayaan, milik Allah. Jika Allah ingin menarik kembali
segala rezeki dianugerahkan kepada makhluk bergelar manusia, sekelip mata bakal hilang
segalanya tanpa mengira status, bangsa dan agama manusia.

Sewaktu tiba di rumah arwah pada jam 4.33 petang tadi, saya melihat Bob terbaring
di atas katil. Jururawat peribadinya, Mohd Farid Hamzah dan pembantunya,
Kamer Farhan Kamaludin, 23 tahun, sedang melakukan CPR dengan harapan
Bob kembali bernafas. 


"Berapa lama sudah melakukan CPR?," soal saya kepada Farid.

"Lebih kurang dua puluh minit bang," balas graduan lulusan Kolej Segi juga kru
Penyingkap Fakta 666 itu.

Kedua mereka kelihatan penat namun tetap bersilih ganti melakukan CPR.

Farid melihat tepat ke arah saya menggelengkan kepala. Bibir arwah kelihatan
berwarna biru gelap dan tubuhnya  langsung tidak menunjukkan sebarang
respon positif. 


Dia faham maksud gelengan itu. Mereka telah mencuba kaedah terbaik untuk
menyelamatkan Bob namun gagal.


Dua kakitangan ambulan dari Hospital Sungai Buloh tiba di rumah kira-kira
jam 4.37 petang tadi dan membuat pemeriksaan teliti ke atas tubuh Bob.


"Tiada denyutan nadi, tiada degupan jantung dan anak mata sudah membesar," jelas
kakitangan hospital itu.

"Elok kalau encik memberitahu isteri abang Bob," celah Farid.

Farid ternyata bersedih.

"Macam abang saya. Saya mula menjaga abang Bob sejak 17 April lalu sampailah semalam,"
bisiknya kepada saya.


Isteri arwah, Norma Othman, 29 tahun, berasal dari Mukah, Sarawak, dinikahinya
pada 8 April lalu mengalirkan airmata sebaik dimaklumkan berhubung pemergian suaminya.

Untuk pengetahuan semua, Norma dan arwah berkongsi tarikh lahir sama, 15 April. 


Lantas saya memyedekahkan Al-Fatihah pertama buat arwah sebelum jenazah ditutup
menggunakan kain.


Sewaktu dua kakitangan hospital bergerak keluar dari bilik, saya terpandang dua topi
keledar mainan diletakkan di atas almari berhampiran katil arwah.


Biarpun berat tubuhnya sewaktu hidup dilaporkan melebihi 200 kilogram, di hatinya
tersemat sifat anak kecil, menggemari permainan sebegitu barangkali untuk menghiburkan
sanubarinya ketika terluka berikutan sifat beberapa manusia sebelum ini menjadi kenalannya.

Untuk rekod, topi terbabit mempunyai pembesar suara di bahagian dalam.
Jika pengguna bercakap sewaktu memakai topi itu, suaranya bertukar menjadi besar
seperti suara robot.

Untuk rekod, jenazah Bob dimandi dan disembahyangkan di Masjid Kota Damansara,
Petaling Jaya, Selangor sebelum dibawa ke rumah  keluarga arwah
di 1763  Kampung Sega Tengah, 71200 Rantau Negeri Sembilan.

"Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Sega Tengah ini,
jam 10 pagi esok. Kami sampai tadi kira-kira jam 11.35 malam," lapor Azayusrin.

Kru 666, Razali Harun, Azayusrin, Adam dan Farid kini berada di rumah arwah.

Al-Fatihah!

HEBAHKAN
KM: Janji Allah... setiap manusia yang hidup pasti akan MATI.

Thursday 3 May 2012

Lagu Najwa Latif makin matang

Lagu terbaru yang kini semakin hits diradio berjudul Kosong daripada Najwa Latif.... Jom kita layan.. KepakMerah rasa inilah lagu yang paling matang daripada Najwa... sebelum ni KepakMerah rasa lagu seperti Cinta Muka Buku lebih kepada remaja... kali ini Kosong memang berjaya memikat telinga untuk terus mendengar berulang kali... Tahniah Najwa Latif.

Jom layan.... KOSONG



KM: sedap didengar walau dah 10 kali .... layannnnn.

petikan gitar yang hebat



KepakMerah salute lah kt brader nih... dengan hanya satu gitar... rythym dan bass dia main dengan senang sekali.....

layan jer lah...